Ahad, 20 Februari 2011

Dulu , Dahulu, Saja, Sahaja, Baru dan Baharu

Perkataan `dulu’ ialah kependekan perkataan `dahulu’. Perkataan `dulu’ dikategorikan sebagai bahasa percakapan atau digunakan dalam suasana yang tidak formal. Makna perkataan `dahulu’ ialah:
1. masa yang telah lalu. Ayat contoh: Dahulu  kala, manusia tinggal di dalam gua.
2. mula-mula dilakukan atau dibuat: Ayat contoh: Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum bertindak.
3. di hadapan. Ayat contoh:  Kamu pergilah dahulu ke sana; saya akan datang sebentar sahaja lagi.
Perkataan `saja’ pula  ialah kependekan atau bahasa percakapan untuk  sahaja. Perkataan ini bermaksud:
4. Tiada yang lain atau satu-satunya. Ayat contoh: Dialah sahaja yang sanggup membantu saya apabila saya berada dalam kesusahan.
5.  selalu demikian, iaitu tentang keadaan, hal dan lain-lain) atau  masih begitu juga. Ayat contoh: Sudah tiga bulan dia duduk di rumah sahaja kerana kedua-dua belah kainya patah.
6. Usahkan atau jangankan,  malah atau  pun. Ayat contoh: Usahkan menegur, melihat sahaja  dia tidak sudi.
7. sesiapa pun atau sebarang. Ayat contoh: Ke mana-mana sahaja  dia pergi, isterinya  sudah tentu dibawa bersama.
8. dapat dilakukan  dengan  mudah atau  dengan  sesuka hati atau rela hati. Ayat contoh: Guni yang berat itu dipikulnya sahaja. Wang sejumlah RM100 itu diberikannya  sahaja  kepada orang itu.
9. Untuk menguatkan erti perkataan sebelumnya, iaitu bermaksud sangat atau  sekali. Ayat contoh: Perkara itu mudah sahaja diselesaikan.

Jika perkataan `dulu’ dan `saja’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan untuk  perkataan `dahulu’ dan `sahaja’, kedua-dua perkataan ini berbeza dengan perkataan `baru’ dan `baharu’. Walaupun Kamus Dewan tidak membezakan perkataan `baru’ dengan `baharu’, sebenarnya kedua-kedua perkataan ini berbeza dari segi  kategori dan makna. Perkataan `baru’ termasuk dalam golongan kata bantu yang bermaksud  `belum lama’. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `just.’.

Ayat contoh:
10. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi.
11. Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua kakitangan kerajaan akan diberi bonus sebulan gaji.
Perkataan `baharu’ pula termasuk dalam golongan kata adjektif  yang bermaksud belum ada sebelumnya atau belum lama wujud. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `new’. Ayat contoh:
12.Ayah telah membeli rumah baharu untuk kami.
13.Adik akan memakai baju baharu apabila ke rumah nenek nanti.

Kesimpulannya, perkataan `saja’, `dulu’, dan `baru’ tidak boleh disamakan pembentukan dan maknanya dengan perkataan `sahaja’, `dahulu’ dan `baharu’. Perkataan `saja’, dan `dulu’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan bagi perkataan `sahaja’ dan `dahulu’. Dari segi golongan kata, perkataan `dahulu’ atau `dulu’ merupakan adverva. Perkataan `sahaja’ dan `saja’ pula  termasuk dalam beberapa golongan kata tugas bergantung pada maknanya dalam ayat. Perkataan `sahaja’ boleh berfungsi sebagai kata penegas, kata penguat, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, usaha panel penulis buku Tatabahasa Dewan yang membezakan maksud dan penggunaan perkataan `baru’ dengan `baharu’ patut dipuji. Oleh sebab Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan buku Tatabahasa Dewan sebagai buku tatabahasa pegangan untuk murid dan guru yang mempelajari subjek Bahasa Melayu di sekolah, semua pihak haruslah menerima penggunaan perkataan `baru’ dan `baharu’ sebagai perkataan yang berbeza dari segi makna dan golongannya.

Khamis, 17 Februari 2011

Marcapada atau mutakhir

Saya ingin berkongsi pengalaman sering menemukan kesalahan dalam penulisan karangan pelajar gara-gara menjadi hamba kepada hawa nafsu. Dengan erti kata lain, pelajar kita berleluasa dan menjadi 'pak turut' dalam penulisan karangan. Pada pengamatan saya, antara kesalahan yang kerap saya temukan ialah 'mutakhir ini' dan 'marcapada ini' sebagai frasa penanda wacana. Kesalahan ini dipandang berat kerana pelajar kita tidak merujuk kepada Kamus Dewan untuk mengetahui makna dan penggunaan sebenarnya. Bagi mereka, penggunaan frasa sedemikian menampakkan kehebatan penguasan kosa kata bahasa Melayu, tetapi sebenarnya mereka menjadi mangsa kejahilan diri sendiri. Yang menyedihkan ialah ada guru bahasa yang menggalakkan penggunaan frasa-frasa tersebut. Setahu saya, frasa yang sesuai ialah 'dewasa ini' / 'pada masa ini' / pada ketika ini.
      
 Bagi meleraikan kesalahan frasa sedemikian dalam usaha memurnikan dan mendaulatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan pengguna bahasa Melayu sedikit maklumat boleh kita kongsi bersama setelah mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari MUNSYI DEWAN.

Dalam penulisan karangan, pelajar menganggap bahawa penggunaan perkataan tersebut akan meningkatkan markah dari segi kosa kata. Yang menyedihkan saya ialah  guru-guru bahasa Melayu mereka yang menggalakkan penggunaan frasa tersebut. Penggunaan frasa `mutakhir ini’ dan `marcapada ini’ sebenarnya tidak menepati penggunaan bahasa yang baku.  Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut mempunyai kelewahan bahawa.

Jika kita meneliti Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan `mutakhir’ bermaksud :
terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu, kemas kini. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
  1. Dalam seminar itu, mereka akan  membicarakan puisi Malaysia  mutakhir.
  2. A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera mutakhir di dunia.
Jika kita menggunakan transformasi makna, ayat (1) dan (2) di atas, boleh juga ditulis seperti yang berikut:

1(a) Dalam seminar itu, mereka akan  membicarakan puisi Malaysia  terakhir.

2(a) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera terakhir di dunia.

1(b) Dalam seminar itu, mereka akan  membicarakan puisi Malaysia  akhir-akhir ini.

2(b) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera akhir-akhir di dunia.

1(c) Dalam seminar itu, mereka akan  membicarakan puisi Malaysia  terbaharu.

2(c) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera terbaharu di dunia.
Sila lihat penggunaan perkataan `mutakhir’ dalam ayat yang berikut pula:

3.Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ialah buku rujukan  mutakhir yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menentukan betul salah aspek tatabahasa dalam peperiksaan.

4.Pengkaji-pengkaji kesusasteraan hendaklah membaca buku-buku berkaitan tentang kesusasteraan Melayu karya Ismail Hussein, Hooykas, Lew Yock Fang dan sarjana-sarjana mutakhir.


Perkataan `marcapada’ pula bermaksud dunia sekarang ini. Lihat penggunaan perkataan tersebut dalam ayat yang di bawah ini:

5.Orang Mukmin tidak akan terpengaruh dengan marcapada yang penuh dengan tipu daya.

Sebagai kesimpulannya, pengguna hendaklah mengelakkan penggunaan bahasa yang lewah dalam penulisan. Sebagai guru, kita janganlah mengajar murid tentang penggunaan bahasa yang salah dan tidak tepat. Oleh itu, mereka perlulah merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah dan Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah. Dengan mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu yang betuk, hal ini bermakna kita telah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara kita.

Rabu, 16 Februari 2011

KEPUTUSAN STPM 2010


KEPUTUSAN STPM AKAN DIUMUMKAN PADA 21 HB NI HARI ISNIN...BERMAKNA 28.2.2011 atau 3.3.2011 SPM PULA AKAN DIUMUMKAN.....HARAP BUNGA ROS AKAN TERUS BERKEMBANG MENDONGAK MATAHARI DAN BUKANNYA TUNDUK LEMAS DAN LAYU DI DALAM AIR KERANA KEKHILAFAN DIRI SENDIRI.TEPUK DADA TANYA IMAN....ILMU,IMAN DAN AMAL PERLU SEIRINGAN BAGI MENJANA KECEMERLANGAN DUNIA DAN AKHIRAT. OLEH ITU,USLUB YANG PROGRESIF DAN DINAMIK MENJADI INDIKATOR YANG SIGNIFIKAN KE ARAH MEREALISASIKAN IMPIAN HIDUP YANG SEJAHTERA.

Isnin, 14 Februari 2011

SATU KELAHIRAN BARU 2011


SYUKUR KEHADRAT ALLAH S.W.T ATAS LIMPAH DAN RAHMATNYA SERTA SEKELUMIT ILMU YANG DIPINJAMKAN-NYA DAPAT SAYA MENJANA SUATU MEDIA BARU UNTUK MENYALURKAN ILMU YANG BARU SETAHUN JAGUNG DALAM BIDANG BAHASA MELAYU UNTUK BERKONGSI DAN MEMBINA GENERASI BERMAKLUMAT BERTERASKAN BIDANG BAHASA MELAYU YANG SEMAKIN HARI SEMAKIN DIHIMPIT ARUS BAHASA ASING YANG CUBA MENCEROBOH TEMBOK BESAR JATI DIRI BANGSA MELAYU DI BUMI MALAYSIA YANG TERCINTA INI. DI HARAPKAN MEDIA INI DAPAT DIGUNAKAN DENGAN SEBAIKNYA DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU. BERSESUAIAN DENGAN TARIKH 12 RABIUL AWAL, TARIKH KELAHIRAN JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD S.A.W , DIHARAP MASA DAN WAKTU YANG BAROKAH INI DAPAT MEMANIFISTASIKAN SATU PERUBAHAN BARU DALAM DIRI TERUTAMA BIDANG BAHASA MELAYU BAGI DIKEMBANGKAN KEPADA PELAJAR YANG DAHAGAKAN ILMU UNTUK TERUS MENITI ARUS KEHIDUPAN YANG SEMAKIN MENCABAR DAN DICABAR OLEH BAHASA ASING YANG LAIN. SEMUA ANGGOTA MASYARAKAT PERLU PRIHATIN DENGAN TUNTUTAN ILMU AGAR DAPAT MENATIJAHKAN SEBUAH MASYARAKAT MELAYU YANG BERILMU PENGETAHUAN, AGAR DAPAT BERDIRI SAMA TINGGI DAN DUDUK SAMA RENDAH DENGAN BANGSA LAIN DI ALAM MAYA INI.

SALAM MAULIDUR RASUL 1432H DARI payongbahasamelayu@blogsport.com.my